Dah Kenal ALLAH Tak Payah Solat

Suatu pagi aku singgah bersarapan di warung roti canai Wak Jai. Sememangnya sudah menjadi rutin setiap pagi aku bersarapan di sini sebelum pergi kerja. Cuma kadang-kadang aku tak singgah sebab ada perkara penting, nak sampai tempat kerja lebih awal.

Pagi ini ada Pak Imam masjid. Ada Pak Ali dan beberapa orang kampung duduk bersarapan sambil bersembang bab solat. Baguslah sembang bab solat, kita yang muda ni boleh la pasang telinga ambil iktibar.

Selepas memberi salam dan berjabat tangan dengan orang-orang tua tadi, aku pun mengambil tempat duduk dan membuat order.

"Wak Jai, roti telor satu. Teh tarik kurang manis."

"Siappp..." Wak Jai menyahut.

Aku dengar perbualan otai-otai tadi makin dalam, makin rancak. Dari bab solat dah masuk bab Ketuhanan. Aku makan roti telor sampai habis. Perlahan-lahan aku menghirup teh tarik yang masih panas berasap.


"Kita ni jadi orang Islam, kenalah belajar  ilmu mengenal Allah. Barulah sempurna solat kita, sempurna Islam kita." Kata Pak Imam.

"Bukan tak mahu belajar Pak imam, tapi pening lah belajar ilmu mengenal Allah. Aku ikut ajelah. Samikna wa ata'na." Sahut Pak Ali.

Aku menyalakan sebatang rokok Dunhill sambil berkata, "Eloknya belajarlah ilmu mengenal Allah tu Pak Ali. Nanti dah kenal  Allah tak payah la solat."

Semua mata di warung tu memandang kepada aku dengan mata terbeliak. Aku selamba menghisap rokok sambil menghembuskan asap perlahan-lahan.

"Engkau ni dah sesat agaknya Man?" Kata Pak Ali dengan suara yang agak tinggi.

Aku masih berdiam diri menunggu respon Pak Imam.

"Tu macam mana yang Man cakap tu Pak Imam?" Wak Jai bertanya pada Pak Imam.

"Dah jangan digantung lama-lama Man, bagi penjelasan lanjut." Pak Imam memberi respon.

"Payah itu ertinya apa Pak Ali?" Aku dengan lemah lembut bertanya pada Pak Ali yang tadi menuduh aku sesat.

"Payah tu ertinya susah." Jawab Pak Ali.

"Kalau dah kenal Allah, dah tahu serba serbi rukun, tertib dan tartil solat, payah tak solat tu Pak Ali?" Aku bertanya pada Pak Ali.

"Tak payah lah." Jawab Pak Ali.

"Hahaha...." Aku ketawa, Pak Imam, Pak Ali dan lain-lain semua ikut ketawa.

"Yang payah solat tu yang tak tak kenal ALLAH. Yang kenal dah tak payah solat." Pak Imam menambah dan warung kembali ceria 😊

SIAPA YANG LAYAK MENGAJAR ILMU AWALUDDIN MAKRIFATULLAH? 
Sitegiant E-commerce

MENGENAL ALLAH : Siapakah yang layak memperkenalkan kita kepada ALLAH?

Ramai yang mengaku sudah mengenal diri. Ramai juga yang mengakui sudah mengenal ALLAH. Hakikatnya hanya ALLAH yang mengenali akan DIRINYA sendiri dan ALLAH maha mengenali akan sekelian makhluk-makhlukNYA.

"مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ"

Maksudnya: “Sesiapa yang kenal dirinya maka dia telah mengenal akan Tuhannya”.

Ungkapan ini kerap menjadi modal orang yang mengaku sebagai guru ilmu 'Awaluddin Makrifatullah' tanpa mengetahui asal usul sifir ini. Ungkapan ini sering disalah anggap sebagai hadis Nabi Muhammad Rasulullah, sedangkan ia sebenarnya adalah ungkapan dari seorang ahli falsafah Yunani (Greek) yang bernama Aristotle iaitu anak murid kepada Plato yang lahir pada tahun 382 sebelum Masihi (BC). Rujuk kenyataan Pejabat Mufti WP.

Maka berhati-hatilah dengan guru-guru yang menyatakan ungkapan ini sebagai hadis. Juga berhati-hatilah dengan hadis -hadis 'Israiliat'. Jika perkara asas seperti ini tidak disiasat dengan teliti, bagaimana boleh seseorang guru itu membawa kita kepada Makrifatullah?

Lihatlah pula akhlak mereka yang mengaku kononnya sudah mengenal ALLAH. Adakah mereka mengajak kepada mendirikan solat apabila masuk waktu solat. Kebanyakannya mengabaikan solat kerana cukup dengan solat 'Hu Daim'. Persoalannya, adakah dalam sejarah Nabi Muhammad Rasulullah meneladani solat seperti ini. Solat 'Hu Daim' atau 'Daim' atau 'Daimun' didefinasikan sebagai solat yang berterusan, tidak bertempat dan tidak berwaktu. Namun itu cerita solat di dalam tarekat. Solatnya di dalam nafas dan degupan jantung. Sedangkan perlu diingat bahawa syariat tubuh ini masih wujud. Bukankah segala tangan, kaki, kepala, mata, telinga, mulut, lidah, hidung, perut, zakar, faraj, dubur, otak, segala organ, segala urat saraf, tulang belulang, bulu rambut bahkan seluruh anggota tubuh juga mahu ikut solat?


Maka itulah solat fardhu 5 waktu sehari semalam yang wajib ke atas setiap orang Islam, lebih-lebih lagi orang yang sudah Makrifatullah.

Solat yang sebenarnya ialah yang berlangsung 4 perkara serentak iaitu solat syariat, solat tarekat, solat hakikat dan solat makrifat.

Solat itu yang sebenarnya adalah penyatuan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat Muhammad, yang mengakui ALLAH adalah Tuhan. 

Solat itu yang sebenarnya adalah pengakuan Muhammad bahawa dirinya adalah pesuruh ALLAH.

Sebagai umat Muhammad, ikutilah Muhammad itu sebagai imam juga penghulu kita.  Hanya Muhammad yang mengenali ALLAH. Hanya Muhammad yang dapat membawa kita kembali menemui ALLAH.

Berhala bukan tuhan, wajah bukan tuhan, cahaya bukan tuhan, Muhammad bukan tuhan, TUHAN TETAP TUHAN. Hanya Muhammad yang layak memperkenalkan kita kepada ALLAH. Maka belajarlah mengenal Muhammad dahulu iaitu Muhammad Awal, Muhammad Batin, Muhammad Akhir, Muhammad Zahir.

Saya akhiri catatan ini dengan firman ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 45-46.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."

Baca juga ---> DAH KENAL ALLAH, TAK PAYAH SOLAT.

Sitegiant E-commerce

PETUA MENGATASI RASA RESAH, GELISAH, WAS-WAS & GANGGUAN JIN SYAITAN

Sebagai manusia biasa, kita tidak sunyi dari rasa resah gelisah dan was-was ketika mengharungi pelbagai ujian hidup.

Luarbiasa kita sebagai orang beriman, kita ada Allah yang sentiasa mengawasi diri kita zahir batin.

Ketika dilanda masalah dan ujian hidup yang menerbitkan rasa resah gelisah, amal untuk membaca kalimah Ta'awuz iaitu:

 "AUZUBILLAHI MINASH SHAITO NIRRAJIM"

Amalkan membacanya 100x setiap hari.

Amalkan selama 7 hari sehingga menjadi rutin harian. Amalan ini hanya mengambil masa kurang lebih 10 minit sahaja.

InsyaAllah akan hilang segala gangguan itu.

Kongsikan petua ini kepada beberapa rakan-rakan dan anda akan mendapat lebih manfaatnya insyaAllah.





ILMU MENGENAL ALLAH Sitegiant E-commerce

RAHSIA SOLAT DAN SOLAT RAHSIA



Bismillahirrahman’nirrahim.

Solat bukanlah sekadar rukun Islam yang ke-2, lebih dari itu, solat adalah satu jalan untuk kita sampai kepada Allah mengikut jalan Muhammad. Solat adalah jalan yang telah dirintis oleh Nabi Muhammad pada peristiwa Isra’ Mikraj yang mahsyur lagi penuh hikmah dan  rahsia. 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  (Surah Al-Israa’: 1)


Pernah seorang sahabat saya bertanya bagaimana mahu mengecap nikmat kelazatan dalam solat?? Sahabat saya itu mengakui bahawa beliau solat sekadar  ikut-ikutan dan tidak pernah menikmati kelazatan solat. Saya juga mengakui bahawa saya pun belum merasai kemuncak nikmat kelazatan solat selain nikmat-nikmat solat yang umum.

Di dalam menghadapi apa jua situasi, kita mesti mendahulukan Allah. Saya menangguhkan pertanyaan sahabat saya untuk bermunajat memohon petunjuk daripada Allah. Kemudian sampai petunjuk Allah kepada saya berkenaan rahsia asal usul solat. 

Firman Allah, “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah : 269)

Jika kita teliti, di manakah sebenarnya rahsia solat? Cuba kita ingat ketika seruan azan “Haiya’alassolah” maka kita akan menyahut “Lahaulawala’quwatailla’billahil’aliyil’azim”. Ertinya apabila diseru “Marilah solat” maka kita menjawab “Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah” jelas membuktikan bahawa kita sememangnya tiada daya upaya untuk mendirikan solat melainkan dengan Allah (Billah). Maka untuk mendapat solat yang sempurna, solat itu mesti didirikan dengan Allah iaitu kita mesti berdiri di dalam sifat Ketuhanan. Hanya Muhammad yang boleh berdiri di dalam sifat Ketuhanan walaupun Muhammad itu seorang hamba dan pesuruh.

Umum mengetahui bahawa, solat adalah kurniaan Allah, yang diterima oleh Nabi Muhammad melalui peristiwa Isra’ Mikraj sewaktu pertemuan baginda dengan Allah di Arasy Kursi Mustawa iaitu di kemuncak Sidratul Muntaha. Nabi Muhammad dikurniakan solat 50 waktu sehari semalam sebagai tiang agama Islam. Bayangkan setiap 28 minit berkumandang seruan azan dan solat wajib didirikan tanpa berdolak dalih. Maka apa akan jadi dengan kita umat Muhammad sedangkan solat 5 waktu yang ada ini pun sangat berat untuk didirikan?

Dalam perjalanan turun, Nabi Muhammad bertemu dengan Nabi Musa yang menasihatkan agar Nabi Muhammad naik semula bertemu Allah untuk memohon pengurangan. Nabi Muhammad pun naik semula ke Arasy Kursi Mustawa bertemu Allah dan Allah mengurangkan sebanyak 5 waktu. Proses ini berulang sebanyak 9 kali dengan jumlah pengurangan keseluruhan adalah sebanyak 45 waktu. Maka tinggallah solat 5 waktu yang Nabi Muhammad bawa turun ke bumi untuk disyariatkan oleh sekelian orang yang beriman. Solat bukan sekadar syariat, tetapi solat itu meliputi urusan syariat, tarikat, hakikat dan makrifat sekali harung.

Sebagai seorang Mukmin/Mukminah juga Muslim/Muslimah yang mahu menikmati kelazatan solat, mestilah menunaikan solat bukan sekadar satu syariat solat, tetapi perlu juga ditunaikan sekaligus dengan tarikat solat, hakikat solat dan makrifat solat.


SYARIAT SOLAT - adalah pekerjaan tubuh di mana ada 7 pergerakan utama iaitu berdiri memeluk tubuh (Qiam) yang dimulai dengan ikrar takbiratul ihram, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud semula dan duduk tahyat yang disudahi dengan salam. Cuba teliti betul-betul, percaya atau tidak bahawa apabila kita mendirikan solat, sebenarnya kita mengulangi perjalanan Mikraj Nabi Muhammad. 

Sabda Nabi Muhammad, “Dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Bermula dengan niat dan berdiri betul, apabila kita hadapkan kiblat (hati) kita ke Kaabah, sebenarnya kita sudah sampai di dalam Kaabah dalam keadaan ber’ihram. Apabila kita mengangkat kedua-dua tangan sebagai ikrar ‘Takbiratul Ihram’, sebenarnya kita sedang mendaki ruang langit pertama sehingga ke bumbungnya. 

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, yaitu bintang-bintang." (As-Saffat: 6)

Bumbung langit pertama pula adalah lantai langit kedua. Apabila kita turunkan tangan lalu memeluk tubuh, sebenarnya pintu langit kedua sudah terbuka dan kita berdiri (Qiam) bersama-sama para Malaikat yang terus-menerus berdiri sehingga hari Qiamat. Apabila bertakbir untuk rukuk, kita sebenarnya sedang mendaki ruang langit kedua sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit kedua itu pula adalah lantai langit ketiga. Di lantai langit ketiga kita rukuk bersama-sama para Malaikat yang rukuk terus menerus sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertasbih dan bertahmid mendaki langit ketiga sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit ketiga adalah lantai langit keempat. Di sini kita iktidal bersama-sama para Malaikat yang iktidal terus menerus sampai hari Qiamat. 

Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit yang kelima. Kita sujud bersama-sama dengan para Malaikat yang terus menerus sujud sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit keenam dan seterusnya duduk bersama-sama para Malaikat yang duduk terus menerus sampai hari Qiamat. Kita bertakbir lagi untuk sampai ke lantai langit ketujuh dan bersujud lagi bersama-sama para Malaikat yang bersujud terus menerus sampai hari Qiamat. Akhir sekali, kita bertakbir untuk sampai ke Sidratulmuntaha terus ke Arasy Kursi Mustawa di mana ketua para Malaikat, iaitu Malaikat Jibril pun tidak boleh sampai. Kita duduk TAHYAT dan membaca Tahyat terus kita BERSYAHADAH, bersolawat dan salam. Sebenarnya, gerakan yang kita lakukan semasa solat adalah syariat para Malaikat di setiap tingkatan langit yang Nabi Muhammad saksikan di dalam perjalanan Mikraj, seterusnya disusun sebagai tertib gerakan tubuh di dalam solat.

TARIKAT SOLAT - adalah pekerjaan nyawa iaitu nafas. Ianya berbentuk bacaan ayat Al Quran, takbir, tasbih, tahmid, tahlil, solawat dan salam dengan menjaga tajwid dan harakat nafas serta harakat bacaan.

Firman Allah, “Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".” (Al-Muzammil : 4)

HAKIKAT SOLAT - adalah pekerjaan roh iaitu mengingati Allah dengan menyebut nama Allah di dalam setiap harakat nafas.

Allah berfirman “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Firman Allah lagi “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli, yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Al-Jumaah: 9)

MAKRIFAT SOLAT - ialah pekerjaan serentak syariat, tarikat dan hakikat yang naik ke puncak Sidratul Muntaha iaitu Arasy Kursi Mustawa sebagai saksi dengan menafikan segala-galanya melainkan wujud Allah semata-mata dan Muhammad adalah pesuruh Allah.

Firman Allah, “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Kemudian Allah berfirman): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar, sesungguhnya kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".” (Al-Araff : 172)

Dalam konteks ‘Awaluddin Makrifatullah’, kita wajib mengenal diri kita bukanlah sekadar tubuh, tetapi hakikatnya kita adalah Roh atau Nur Muhammad yang berasal usul dari Muhammad dan Muhammad pula adalah Nur Allah yang berasal usul dari Allah Rabbul Izzati iaitu Zat Yang Maha Tunggal. Maka di dalam konteks 'Akhiruddin Makrifat Islam' untuk sampai kepada Allah, kita wajib mengikuti jejak Muhammad iaitu SOLAT.

Firman Allah “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Jelas dari firman Allah ini, seseorang yang khusyuk di dalam solat akan terhindar dari melakukan perkara keji dan mungkar, sedangkan solat orang munafik, fasik atau musyrik akan hanya mengundang kemurkaan Allah. Ini kerana hati mereka lalai dari mengingati Allah sedangkan syariatnya mereka seolah-olah mendirikan solat.

Firman Allah, “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Maa’uun: 4-5)

Kesimpulannya, kita semua perlu kembali kepada Muhammad untuk sampai kepada Allah dan satu-satunya jalan adalah dengan jalan solat.

Sila kongsikan artikel ini kepada Ahli-ahli Muhammad yang lain.

Sitegiant E-commerce