MENGENAL ALLAH : Siapakah yang layak memperkenalkan kita kepada ALLAH?

Ramai yang mengaku sudah mengenal diri. Ramai juga yang mengakui sudah mengenal ALLAH. Hakikatnya hanya ALLAH yang mengenali akan DIRINYA sendiri dan ALLAH maha mengenali akan sekelian makhluk-makhlukNYA.

"مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ"

Maksudnya: “Sesiapa yang kenal dirinya maka dia telah mengenal akan Tuhannya”.

Ungkapan ini kerap menjadi modal orang yang mengaku sebagai guru ilmu 'Awaluddin Makrifatullah' tanpa mengetahui asal usul sifir ini. Ungkapan ini sering disalah anggap sebagai hadis Nabi Muhammad Rasulullah, sedangkan ia sebenarnya adalah ungkapan dari seorang ahli falsafah Yunani (Greek) yang bernama Aristotle iaitu anak murid kepada Plato yang lahir pada tahun 382 sebelum Masihi (BC). Rujuk kenyataan Pejabat Mufti WP.

Maka berhati-hatilah dengan guru-guru yang menyatakan ungkapan ini sebagai hadis. Juga berhati-hatilah dengan hadis -hadis 'Israiliat'. Jika perkara asas seperti ini tidak disiasat dengan teliti, bagaimana boleh seseorang guru itu membawa kita kepada Makrifatullah?

Lihatlah pula akhlak mereka yang mengaku kononnya sudah mengenal ALLAH. Adakah mereka mengajak kepada mendirikan solat apabila masuk waktu solat. Kebanyakannya mengabaikan solat kerana cukup dengan solat 'Hu Daim'. Persoalannya, adakah dalam sejarah Nabi Muhammad Rasulullah meneladani solat seperti ini. Solat 'Hu Daim' atau 'Daim' atau 'Daimun' didefinasikan sebagai solat yang berterusan, tidak bertempat dan tidak berwaktu. Namun itu cerita solat di dalam tarekat. Solatnya di dalam nafas dan degupan jantung. Sedangkan perlu diingat bahawa syariat tubuh ini masih wujud. Bukankah segala tangan, kaki, kepala, mata, telinga, mulut, lidah, hidung, perut, zakar, faraj, dubur, otak, segala organ, segala urat saraf, tulang belulang, bulu rambut bahkan seluruh anggota tubuh juga mahu ikut solat?


Maka itulah solat fardhu 5 waktu sehari semalam yang wajib ke atas setiap orang Islam, lebih-lebih lagi orang yang sudah Makrifatullah.

Solat yang sebenarnya ialah yang berlangsung 4 perkara serentak iaitu solat syariat, solat tarekat, solat hakikat dan solat makrifat.

Solat itu yang sebenarnya adalah penyatuan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat Muhammad, yang mengakui ALLAH adalah Tuhan. 

Solat itu yang sebenarnya adalah pengakuan Muhammad bahawa dirinya adalah pesuruh ALLAH.

Sebagai umat Muhammad, ikutilah Muhammad itu sebagai imam juga penghulu kita.  Hanya Muhammad yang mengenali ALLAH. Hanya Muhammad yang dapat membawa kita kembali menemui ALLAH.

Berhala bukan tuhan, wajah bukan tuhan, cahaya bukan tuhan, Muhammad bukan tuhan, TUHAN TETAP TUHAN. Hanya Muhammad yang layak memperkenalkan kita kepada ALLAH. Maka belajarlah mengenal Muhammad dahulu iaitu Muhammad Awal, Muhammad Batin, Muhammad Akhir, Muhammad Zahir.

Saya akhiri catatan ini dengan firman ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 45-46.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."

Baca juga ---> DAH KENAL ALLAH, TAK PAYAH SOLAT.

Sitegiant E-commerce