KISAH BENAR - TANAH KUBUR BERBAU WANGI


Assalamualaikum.

Kali ini saya akan membuka sebuah kisah benar pengalaman seorang sahabat pada awal 1990an. Kejadian berlaku di tanah perkuburan Islam sebuah kampung di dalam daerah Klang, Selangor. Sewaktu itu sahabat saya ditugaskan untuk menggali kubur seorang wanita yang meninggal dunia dalam lingkungan hujung 40an. Ketika lubang kubur sudah cukup dalam, tiba-tiba sahabat saya terhidu bau yang sangat wangi. Beliau merasa agak seram yang membuat bulu romanya meremang secara berterusan. Beliau tercari-cari dari mana datangnya bau yang sangat wangi itu sehingga akhirnya beliau dapati, bau itu datangnya dari tanah lumpur sekeliling lubang kubur itu. Beliau mengambil segenggam tanah kubur itu dan sahih bahawa tanah lumpur itu berbau sangat wangi.

"Siapa yang meninggal dunia?" Tanya sahabat saya dari dalam lubang kubur kepada rakannya yang di atas permukaan kubur.

"Isteri si Polan dari kampung sebelah, tapi wasiat arwah nak kebumi kat kampung kita." Jawab rakannya yang juga kehairanan.

"Kamu ada hidu bau wangi tak?" Tanya sahabat saya.

"Ye... Mana datangnya?" Jawab rakannya.

Sahabat saya mengambil segenggam tanah lalu menyuakan ke muka rakannya dan menambah rasa hairan rakannya itu.

"Tanah lumpur ni bau wangi?" Tanya rakannya manakala sahabat saya hanya menganggukkan kepala.

Saya agak mengenali si-mati semasa hidupnya walaupun tidak rapat. Arwah adalah seorang yang cantik, lemah lembut dan sangat bersopan santun. Budi bahasanya sangat baik dan menghormati orang ramai tidak kira tua mahupun muda. Beberapa tahun kemudian, saya bertemu dengan bapa wanita yang meninggal dunia itu. Saya menceritakan apa yang dialami oleh sahabat saya sewaktu menggali kubur arwah anaknya. Bapa wanita itu menangis teresak-esak terkenang arwah anak perempuannya. Selepas beliau agak tenang, saya pun bertanya apakah amalan arwah anak beliau sehingga tanah lumpur yang busuk bertukar menjadi wangi? Bapa wanita tersebut memberitahu bahawa, arwah anak beliau adalah seorang wanita solehah yang sangat taat kepada suaminya.

InsyaAllah, semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat dan berkat kepada pembaca yang dihormati. Sila kongsikan dengan rakan-rakan lain.

-Al-Fatihah-

ILMU MENGENAL ALLAH



Sitegiant E-commerce