RAHSIA SOLAT DAN SOLAT RAHSIA



Bismillahirrahman’nirrahim.

Solat bukanlah sekadar rukun Islam yang ke-2, lebih dari itu, solat adalah satu jalan untuk kita sampai kepada Allah mengikut jalan Muhammad. Solat adalah jalan yang telah dirintis oleh Nabi Muhammad pada peristiwa Isra’ Mikraj yang mahsyur lagi penuh hikmah dan  rahsia. 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  (Surah Al-Israa’: 1)


Pernah seorang sahabat saya bertanya bagaimana mahu mengecap nikmat kelazatan dalam solat?? Sahabat saya itu mengakui bahawa beliau solat sekadar  ikut-ikutan dan tidak pernah menikmati kelazatan solat. Saya juga mengakui bahawa saya pun belum merasai kemuncak nikmat kelazatan solat selain nikmat-nikmat solat yang umum.

Di dalam menghadapi apa jua situasi, kita mesti mendahulukan Allah. Saya menangguhkan pertanyaan sahabat saya untuk bermunajat memohon petunjuk daripada Allah. Kemudian sampai petunjuk Allah kepada saya berkenaan rahsia asal usul solat. 

Firman Allah, “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah : 269)

Jika kita teliti, di manakah sebenarnya rahsia solat? Cuba kita ingat ketika seruan azan “Haiya’alassolah” maka kita akan menyahut “Lahaulawala’quwatailla’billahil’aliyil’azim”. Ertinya apabila diseru “Marilah solat” maka kita menjawab “Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah” jelas membuktikan bahawa kita sememangnya tiada daya upaya untuk mendirikan solat melainkan dengan Allah (Billah). Maka untuk mendapat solat yang sempurna, solat itu mesti didirikan dengan Allah iaitu kita mesti berdiri di dalam sifat Ketuhanan. Hanya Muhammad yang boleh berdiri di dalam sifat Ketuhanan walaupun Muhammad itu seorang hamba dan pesuruh.

Umum mengetahui bahawa, solat adalah kurniaan Allah, yang diterima oleh Nabi Muhammad melalui peristiwa Isra’ Mikraj sewaktu pertemuan baginda dengan Allah di Arasy Kursi Mustawa iaitu di kemuncak Sidratul Muntaha. Nabi Muhammad dikurniakan solat 50 waktu sehari semalam sebagai tiang agama Islam. Bayangkan setiap 28 minit berkumandang seruan azan dan solat wajib didirikan tanpa berdolak dalih. Maka apa akan jadi dengan kita umat Muhammad sedangkan solat 5 waktu yang ada ini pun sangat berat untuk didirikan?

Dalam perjalanan turun, Nabi Muhammad bertemu dengan Nabi Musa yang menasihatkan agar Nabi Muhammad naik semula bertemu Allah untuk memohon pengurangan. Nabi Muhammad pun naik semula ke Arasy Kursi Mustawa bertemu Allah dan Allah mengurangkan sebanyak 5 waktu. Proses ini berulang sebanyak 9 kali dengan jumlah pengurangan keseluruhan adalah sebanyak 45 waktu. Maka tinggallah solat 5 waktu yang Nabi Muhammad bawa turun ke bumi untuk disyariatkan oleh sekelian orang yang beriman. Solat bukan sekadar syariat, tetapi solat itu meliputi urusan syariat, tarikat, hakikat dan makrifat sekali harung.

Sebagai seorang Mukmin/Mukminah juga Muslim/Muslimah yang mahu menikmati kelazatan solat, mestilah menunaikan solat bukan sekadar satu syariat solat, tetapi perlu juga ditunaikan sekaligus dengan tarikat solat, hakikat solat dan makrifat solat.


SYARIAT SOLAT - adalah pekerjaan tubuh di mana ada 7 pergerakan utama iaitu berdiri memeluk tubuh (Qiam) yang dimulai dengan ikrar takbiratul ihram, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud semula dan duduk tahyat yang disudahi dengan salam. Cuba teliti betul-betul, percaya atau tidak bahawa apabila kita mendirikan solat, sebenarnya kita mengulangi perjalanan Mikraj Nabi Muhammad. 

Sabda Nabi Muhammad, “Dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Bermula dengan niat dan berdiri betul, apabila kita hadapkan kiblat (hati) kita ke Kaabah, sebenarnya kita sudah sampai di dalam Kaabah dalam keadaan ber’ihram. Apabila kita mengangkat kedua-dua tangan sebagai ikrar ‘Takbiratul Ihram’, sebenarnya kita sedang mendaki ruang langit pertama sehingga ke bumbungnya. 

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, yaitu bintang-bintang." (As-Saffat: 6)

Bumbung langit pertama pula adalah lantai langit kedua. Apabila kita turunkan tangan lalu memeluk tubuh, sebenarnya pintu langit kedua sudah terbuka dan kita berdiri (Qiam) bersama-sama para Malaikat yang terus-menerus berdiri sehingga hari Qiamat. Apabila bertakbir untuk rukuk, kita sebenarnya sedang mendaki ruang langit kedua sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit kedua itu pula adalah lantai langit ketiga. Di lantai langit ketiga kita rukuk bersama-sama para Malaikat yang rukuk terus menerus sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertasbih dan bertahmid mendaki langit ketiga sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit ketiga adalah lantai langit keempat. Di sini kita iktidal bersama-sama para Malaikat yang iktidal terus menerus sampai hari Qiamat. 

Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit yang kelima. Kita sujud bersama-sama dengan para Malaikat yang terus menerus sujud sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit keenam dan seterusnya duduk bersama-sama para Malaikat yang duduk terus menerus sampai hari Qiamat. Kita bertakbir lagi untuk sampai ke lantai langit ketujuh dan bersujud lagi bersama-sama para Malaikat yang bersujud terus menerus sampai hari Qiamat. Akhir sekali, kita bertakbir untuk sampai ke Sidratulmuntaha terus ke Arasy Kursi Mustawa di mana ketua para Malaikat, iaitu Malaikat Jibril pun tidak boleh sampai. Kita duduk TAHYAT dan membaca Tahyat terus kita BERSYAHADAH, bersolawat dan salam. Sebenarnya, gerakan yang kita lakukan semasa solat adalah syariat para Malaikat di setiap tingkatan langit yang Nabi Muhammad saksikan di dalam perjalanan Mikraj, seterusnya disusun sebagai tertib gerakan tubuh di dalam solat.

TARIKAT SOLAT - adalah pekerjaan nyawa iaitu nafas. Ianya berbentuk bacaan ayat Al Quran, takbir, tasbih, tahmid, tahlil, solawat dan salam dengan menjaga tajwid dan harakat nafas serta harakat bacaan.

Firman Allah, “Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".” (Al-Muzammil : 4)

HAKIKAT SOLAT - adalah pekerjaan roh iaitu mengingati Allah dengan menyebut nama Allah di dalam setiap harakat nafas.

Allah berfirman “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Firman Allah lagi “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli, yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Al-Jumaah: 9)

MAKRIFAT SOLAT - ialah pekerjaan serentak syariat, tarikat dan hakikat yang naik ke puncak Sidratul Muntaha iaitu Arasy Kursi Mustawa sebagai saksi dengan menafikan segala-galanya melainkan wujud Allah semata-mata dan Muhammad adalah pesuruh Allah.

Firman Allah, “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Kemudian Allah berfirman): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar, sesungguhnya kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".” (Al-Araff : 172)

Dalam konteks ‘Awaluddin Makrifatullah’, kita wajib mengenal diri kita bukanlah sekadar tubuh, tetapi hakikatnya kita adalah Roh atau Nur Muhammad yang berasal usul dari Muhammad dan Muhammad pula adalah Nur Allah yang berasal usul dari Allah Rabbul Izzati iaitu Zat Yang Maha Tunggal. Maka di dalam konteks 'Akhiruddin Makrifat Islam' untuk sampai kepada Allah, kita wajib mengikuti jejak Muhammad iaitu SOLAT.

Firman Allah “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Jelas dari firman Allah ini, seseorang yang khusyuk di dalam solat akan terhindar dari melakukan perkara keji dan mungkar, sedangkan solat orang munafik, fasik atau musyrik akan hanya mengundang kemurkaan Allah. Ini kerana hati mereka lalai dari mengingati Allah sedangkan syariatnya mereka seolah-olah mendirikan solat.

Firman Allah, “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Maa’uun: 4-5)

Kesimpulannya, kita semua perlu kembali kepada Muhammad untuk sampai kepada Allah dan satu-satunya jalan adalah dengan jalan solat.

Sila kongsikan artikel ini kepada Ahli-ahli Muhammad yang lain.

Sitegiant E-commerce

PETUA UNTUK MASAKAN LEBIH LAZAT DAN ENAK

Assalamualaikum,

Ramai orang suka memasak dan pastinya kita gembira sekiranya masakan kita itu habis di makan dan mendapat pujian atau sanjungan dari ahli keluarga serta tetamu (Alhamdulillah). Selain bahan, rempah, rencah dan perisa masakan, banyak lagi rahsia chef atau tukang masak untuk memastikan masakan mereka lazat dan enak. Di dalam Al-Quran ada rahsia untuk menjadikan masakan kita menjadi sangat lazat, bermanfaat lagi berkat dari dunia sampai akhirat. Apakah petuanya??



Ketika memasak, bacalah Al-Fatihah khusus untuk Nabi Muhammad. Kemudian, bacalah surah Al-Kauthar sebanyak 3 kali dan bersolawat ke atas Nabi Muhammad secara terus menerus sehingga selesai memasak. Akhir sekali, nikmatilah hasil masakan anda yang sangat luar biasa lazatnya.

Kongsikan petua ini sesama Muslimin & Muslimah untuk lebih manfaat dan keberkatan di dalam masakan. Sekian wabillahi'taufiq wal'hidayah.




ILMU MENGENAL ALLAH

Sitegiant E-commerce

PUASA HARI LAHIR - FADHILAT & MANFAAT

Assalamualaikum.

Puasa adalah urusan rahsia kita dengan Allah dan puasa itu sendiri adalah ibadat yang penuh dengan rahsia. Berpuasa adalah satu jalan untuk menyampaikan suatu hajat khusus kita kepada Allah, kerana hanya dengan berpuasa nafsu akan tunduk dan tidak campur tangan di dalam doa munajat kita kepada Allah. Apa yang ingin saya khususkan di sini ialah berkenaan dengan "Puasa Hari Lahir".



Nabi Muhammad pernah ditanya mengapa baginda suka berpuasa sunat pada hari Isnin, baginda menjawab - "Hari itu aku di lahirkan dan pada hari itu juga wahyu (pertama) di turunkan kepadaku." (HR Muslim)

Ini adalah dalil amalan puasa sunat pada hari kita dilahirkan. Takrif hari kita dilahirkan ialah samada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat atau Sabtu. Saya mendapat ijazah untuk melaksanakan puasa hari lahir dari seorang guru di Indonesia. Saya melaksanakan puasa ini untuk beberapa tujuan duniawi. Alhamdulillah sangat mustajab dan segala masalah termasuk hutang piutang saya selesai.

Saya mengijazahkan kepada isteri saya ketika salah seorang anak kami sakit sawan dan sudah habis daya kami pergi berubat samada secara moden mahupun tradisional. Sebagai ibu, isteri saya pun melaksanakan puasa hari lahir untuk anak kami dan alhamdulillah anak kami sembuh dan kini sedang meningkat dewasa walaupun agak terencat sedikit. 

Pernah seorang rakan saya seorang kontraktor mengalami masalah kemerosotan perniagaan, saya mengijazahkan puasa hari lahir untuk beliau amalkan. Alhamdulillah, sebulan kemudian beliau mendapat banyak kontrak yang bernilai jutaan ringgit dari beberapa agensi kerajaan.

Isteri sahabat saya pernah menelefon saya mengadu hal suaminya yang kaki perempuan dan banyak menghabiskan duit untuk perempuan simpanannya. Saya mengijazahkan puasa hari lahir dan beliau berpuasa pada hari lahir suaminya. Alhamdulillah, sebulan selepas selesai puasa, suaminya bertaubat dan kembali ke pangkuan keluarga.

Satu kes aneh ialah anak seorang rakan saya menghidap penyakit leukemia. Doktor sudah menganggarkan bahawa kanak-kanak ini cuma boleh hidup tidak lebih dari 3 bulan sahaja. Apabila saya mendapat tahu, saya mengijazahkan kepada ibu kanak-kanak tersebut untuk mengamalkan puasa hari lahir anaknya. Alhamdulillah, anak tersebut sembuh dan ramalan doktor tersebut meleset.

Seorang sepupu saya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, masih belum ada pekerjaan tetap. Suatu hari dia mengadu hal dan saya mengijazahkan puasa hari lahir untuk beliau amalkan. Alhamdulillah, beberapa hari selepas selesai puasa beliau mendapat panggilan  temuduga dan diterima bertugas dengan sebuah agensi kerajaan.

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini, sungguh sudah tertulis suratan perjanjian hidupnya di Kitab Induk. Apabila suratan perjanjian itu berlaku, maka suratan itu menjadi takdir/ketentuan yang tidak boleh diubah lagi. Selagi suratan perjanjian itu belum berlaku, maka kita dibenarkan untuk memohon kepada Allah agar suratan yang buruk ditukar menjadi baik atau boleh juga memohon agar suratan perjanjian yang baik ditukar menjadi yang lebih baik bahkan yang terbaik.  Sebagai contoh ialah penyakit bersebab dan penyakit suratan perjanjian. Penyakit bersebab boleh diubati secara moden ataupun tradisional manakala penyakit suratan perjanjian hanya boleh diubati dengan jalan doa memohon perubahan suratan perjanjian yang kita persetujui sebelum lahir ke dunia ini. Begitu juga soal rezeki, jodoh, zuriat, dan lain-lain yang berhubung dengan suratan perjanjian - takdir ketentuan, maka Puasa Hari Lahir adalah penyelesaian khusus untuk sesuatu maksud/doa yang sedemikian sampai kepada Allah tanpa campurtangan nafsu mahupun syaitan yang sentiasa menimbulkan syak dan was-was. Semoga mendapat limpah perkenan Allah.

KAEDAH PUASA HARI LAHIR.

Pada malam sebelum hari berpuasa, laksanakan mandi sunat taubat dan mengambil wuduk yang sempurna. Kemudian dirikan solat sunat taubat dan solat sunat syukur 2 rakaat masing-masing. Akhir sekali pasanglah niat di dalam hati "Niat aku berpuasa membeli hari lahir ku kerana Allah Ta'ala".

Puasa hendaklah dilakukan pada hari kelahiran masing-masing dengan jumlah kiraan yang telah ditetapkan oleh para sunan terdahulu seperti di bawah ini -

Ahad - Bagi yang lahir pada hari Ahad, laksanakan 5 kali puasa pada setiap hari Ahad.

Isnin - Bagi yang lahir pada hari Isnin, laksanakan 4 kali puasa pada setiap hari Isnin.

Selasa - Bagi yang lahir pada hari Selasa, laksanakan 3 kali puasa pada setiap hari Selasa.

Rabu - Bagi yang lahir pada hari Rabu, laksanakan 7 kali puasa pada setiap hari Rabu.

Khamis - Bagi yang lahir pada hari Khamis, laksanakan 8 kali puasa pada setiap hari Khamis.

Jumaat - Bagi yang lahir pada hari Jumaat, laksanakan 6 kali puasa pada setiap hari Jumaat.

Sabtu - Bagi yang lahir pada hari Sabtu, laksanakan 9 kali puasa pada setiap hari Sabtu.

Pada sebelah malam pula, dirikan solat hajat dan kemukakan apa yang dihajati kepada Allah. Teruskan puasa sehingga sempurna jumlah mengikut hari yang ditetapkan tadi.

Apabila sudah siap jumlah hari berpuasa sebagaimana di atas diikuti solat hajat, maka sempurnakanlah fitrah diri anda dengan mewakafkan naskah Al-Quran atau surat Yasin ke masjid atau surau dengan niat kerana Allah Ta'ala. Jumlah naskah adalah mengikut jumlah puasa yang telah anda laksanakan.

Bagi para Muslimah yang mungkin berlaku keuzuran, sesungguhnya puasa ini boleh dilakukan tanpa berturut-turut. Sebagai contoh sekiranya anda lahir pada hari Selasa, maka anda perlu menyiapkan 3 kali puasa pada setiap hari Selasa sahaja. Jika anda sudah menyiapkan 2 kali puasa tiba-tiba anda uzur pada hari Selasa seterusnya maka anda boleh menggantikannya pada Selasa yang akan datang. Yang penting ialah mencukupkan 3 kali puasa pada hari Selasa.


Puasa ini boleh juga dilakukan oleh anak-anak kepada ibubapanya, ibubapa kepada anak-anaknya, suami kepada isterinya atau isteri kepada suaminya dan boleh dilakukan secara bergotong royong.

Setelah selesai berpuasa maka bersabarlah. InsyaAllah pertolongan Allah akan tiba.

Kepada yang sudah membaca artikel ini sampai habis, sila kongsikan kepada sekurang-kurangnya 10 orang rakan anda yang mungkin memerlukan fadhilat PUASA HARI LAHIR. Berkongsilah samada melalui Facebook, Twitter, Google+, Blog dan lain-lain semoga bermanfaat dan berkat dari dunia sampai akhirat. Sesungguhnya ilmu ini bukan milik saya tetapi adalah milik Allah jua adanya.

Sekian wabillahi'taufiq wal'hidayah. 

Ijazah umum : "Dengan lafaz Bismillahir' rahmanir' rahim, saya mengijazahkan ilmu ini secara umum kepada sesiapa yang ingin mensyariatkannya kerana Allah Ta'ala."

Penerima ijazah cukup dengan menjawab "Saya terima kerana Allah Ta'ala."

ILMU MENGENAL ALLAH



Sitegiant E-commerce

KISAH BENAR - TANAH KUBUR BERBAU WANGI


Assalamualaikum.

Kali ini saya akan membuka sebuah kisah benar pengalaman seorang sahabat pada awal 1990an. Kejadian berlaku di tanah perkuburan Islam sebuah kampung di dalam daerah Klang, Selangor. Sewaktu itu sahabat saya ditugaskan untuk menggali kubur seorang wanita yang meninggal dunia dalam lingkungan hujung 40an. Ketika lubang kubur sudah cukup dalam, tiba-tiba sahabat saya terhidu bau yang sangat wangi. Beliau merasa agak seram yang membuat bulu romanya meremang secara berterusan. Beliau tercari-cari dari mana datangnya bau yang sangat wangi itu sehingga akhirnya beliau dapati, bau itu datangnya dari tanah lumpur sekeliling lubang kubur itu. Beliau mengambil segenggam tanah kubur itu dan sahih bahawa tanah lumpur itu berbau sangat wangi.

"Siapa yang meninggal dunia?" Tanya sahabat saya dari dalam lubang kubur kepada rakannya yang di atas permukaan kubur.

"Isteri si Polan dari kampung sebelah, tapi wasiat arwah nak kebumi kat kampung kita." Jawab rakannya yang juga kehairanan.

"Kamu ada hidu bau wangi tak?" Tanya sahabat saya.

"Ye... Mana datangnya?" Jawab rakannya.

Sahabat saya mengambil segenggam tanah lalu menyuakan ke muka rakannya dan menambah rasa hairan rakannya itu.

"Tanah lumpur ni bau wangi?" Tanya rakannya manakala sahabat saya hanya menganggukkan kepala.

Saya agak mengenali si-mati semasa hidupnya walaupun tidak rapat. Arwah adalah seorang yang cantik, lemah lembut dan sangat bersopan santun. Budi bahasanya sangat baik dan menghormati orang ramai tidak kira tua mahupun muda. Beberapa tahun kemudian, saya bertemu dengan bapa wanita yang meninggal dunia itu. Saya menceritakan apa yang dialami oleh sahabat saya sewaktu menggali kubur arwah anaknya. Bapa wanita itu menangis teresak-esak terkenang arwah anak perempuannya. Selepas beliau agak tenang, saya pun bertanya apakah amalan arwah anak beliau sehingga tanah lumpur yang busuk bertukar menjadi wangi? Bapa wanita tersebut memberitahu bahawa, arwah anak beliau adalah seorang wanita solehah yang sangat taat kepada suaminya.

InsyaAllah, semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat dan berkat kepada pembaca yang dihormati. Sila kongsikan dengan rakan-rakan lain.

-Al-Fatihah-

ILMU MENGENAL ALLAH



Sitegiant E-commerce